Sunday, April 06, 2008

Minda: Pengajaran kisah Sufiah

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

“SIAPA? Sufiah Yusof. Siapa itu?” Soal seorang rakan yang ingin mengetahui lebih lanjut laporan muka depan Harian Metro bertarikh 31 Mac lalu mengenai kanak-kanak genius matematik yang kini menjual tubuh di London.

Agak menghairankan kerana di sebalik pengiktirafan manusia genius di negara ini, nama Sufiah yang kini berusia 23 tahun seolah-olah dilupakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Buktinya ramai yang terpaksa melayari Internet untuk mengetahui lebih lanjut mengenai gadis berkenaan sebaik beritanya disiarkan pada minggu lalu.

Yang menyedihkan ialah namanya hanya kembali meniti di bibir rakyat negara ini apabila ‘kisah hitamnya’ dipaparkan media antarabangsa, bukan pencapaian atau kecemerlangan terbaru akademiknya.

Memang diakui, Sufiah yang ditawarkan tempat di Universiti Oxford ketika berusia 11 tahun, bukan satu-satunya individu dalam kelompok elit sebagai manusia genius kelahiran Malaysia.

Selain beliau, manusia yang diperakui genius di Malaysia ialah pereka cipta kreatif, Zulkifli Haron yang menghasilkan ribuan rekaan kreatif dan inovatif; Ketua Inspektor Kesihatan, Pejabat Daerah Krian, Md Nayan Salleh yang ciptaannya memenangi anugerah peringkat dunia dan pencipta kaedah Mohdar, Mokhtar Mansor yang menghasilkan kaedah sebutan angka unik dan boleh menjadi bahasa komunikasi mengikut kod tertentu.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee; tokoh akademik, Prof Diraja Ungku Aziz; kartunis, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohd Nor Khalid; Bapa Kewartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Prof Datuk Dr Mazlan Othman turut diiktiraf manusia genius Malaysia.

Yang jelas, pengiktirafan sebagai manusia genius turut meletakkan seseorang itu sebagai aset negara sekali gus mereka harus diberikan perlindungan.

Bentuk perlindungan bukan bermakna kawalan keselamatan tetapi bagi memastikan individu itu dapat terus berkarya dan membangkitkan semangat nasional di kalangan rakyat.

Ia sama seperti yang sedang dilakukan angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang membantu mempromosikan sains, terutama berkaitan angkasa kepada rakyat negara ini.

Jika dahulu rakyat negara ini tidak pernah bermimpi untuk menjadi angkasawan, kini ramai kanak-kanak yang berani untuk menanam cita-cita itu di dalam diri mereka.

Kisah tragis yang menimpa Sufiah perlu menjadi pengajaran semua pihak mengenai nasib anak genius negara ini kerana selain Sufiah, Malaysia juga mempunyai Adi Putra Abdul Ghani, 8, dari Bagan Serai, Perak.

Bagi kebanyakan orang, untuk mengira angka hingga berjuta sudah tentu memerlukan bantuan alat pengira elektronik, tetapi bagi Adi Putra, dia seakan-akan mempunyai mesin pengira dalam kepalanya untuk mengira dan memberikan jawapan tepat dalam masa singkat.

Adi Putra bukanlah kanak-kanak pertama yang dilabelkan sebagai pintar, tetapi jika kebanyakan kita masih ingat pada pertengahan 1970-an, seorang kanak-kanak, Mohd Shukri Hadafi, lebih awal menarik perhatian masyarakat dengan kebolehan yang tidak kurang hebat pada usia muda.

Di Singapura, Loh Chang Shiung, yang berasal dari Ipoh, Perak, mencipta sejarah di republik itu apabila muncul graduan termuda Universiti Nasional Singapura (NUS).

Loh hanya berusia 16 tahun apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Sains pada 1994, sekali gus menjadi kebanggaan Malaysia.

Bagaimanapun, laporan media sebelum ini menunjukkan tidak semua kanak-kanak genius negara berakhir dengan kegemilangan kerana Mohd Shukri, sebagai contoh, dikatakan bekerja sebagai penjual roti canai di Kedah.

Persoalannya, adakah kaedah untuk melindungi insan genius negara ini daripada perkara yang boleh merosakkan diri mereka di kemudian hari?

Berbalik kepada Sufiah, pelbagai pihak cuba memberikan penjelasan bagaimana seorang kanak-kanak genius yang sepatutnya melakar masa depan cerah boleh terjebak dalam lembah kehinaan sebagai pelacur?

Perunding Psikiatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Madya Dr Osman Che Bakar, berkata ada kemungkinan Sufiah berhadapan masalah psikitiari mania.

“Kemungkinan Sufiah berhadapan masalah mania yang antara simptom penyakit itu ialah keinginan seks meluap-luap, hiperaktif, terlalu ceria, berkeyakinan tinggi, berfikir pantas, bertenaga, hilang keinginan tidur dan terlalu peramah.

“Kemungkinan penyakit itu sudah lama ada dalam dirinya, tetapi ia tidak disedari dan tidak dapat dikesan dari awal hingga gagal dirawat dan dibendung,” katanya.

Pada masa sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata ilmu akademik saja tidak boleh menjamin seseorang pelajar berjaya dalam hidup walaupun mereka lulus cemerlang dalam peperiksaan.

Menurutnya, sistem pendidikan di negara ini berjaya mengimbangi penyampaian ilmu kepada pelajar dengan menitikberatkan bidang akademik, agama, jasmani dan emosi supaya setiap pelajar mampu menghadapi apa jua cabaran yang menimpa mereka.

Mungkin benar masalah Sufiah bermula daripada kemelut kehidupan peribadi daripada perceraian dengan bekas suaminya selain bapanya yang kini menjalani hukuman penjara kerana jenayah seksual.

Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab negara untuk menyelamatkannya terutama dari segi akidah.

Apa yang diharapkan, misi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim mampu menghasilkan sesuatu yang positif.

Mungkin jalan terbaik membawa Sufiah pulang ke negara ini kerana seperti kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ lebih baik negeri sendiri.

No comments: