Sunday, April 06, 2008

Filem Fitna, memang fitnah

SEPANG: “Filem Fitna ini betul-betul fitnah kepada kita (umat Islam),” kata ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, pengeluar filem terbabit cuba mengelirukan orang ramai dengan penggunaan petikan ayat al-Quran yang tidak lengkap dalam usaha memburukkan umat Islam di kalangan masyarakat dunia.

“Dia (pengeluar filem) mengeluarkan ayat al-Quran berkaitan jihad. Dia ambil (ayat al-Quran) yang memerintahkan untuk kita berjihad dengan orang kufur, walhal dia lupa bahawa sebelum itu ayat berkenaan menceritakan bagaimana orang kufur menentang umat Islam, cuba nak hapuskan Islam.

“Perintah kepada orang Islam supaya berjihad mempertahankan agama, tapi dia ambil kalimah al-Quran yang mengajar supaya membunuh orang, pancung orang, seolah-olah itulah perkara sebenar...sedangkan ayat itu tidak dikeluarkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ) Bil 54/1.2008, Kementerian Dalam Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyiaran filem pendek 15 minit menerusi Internet, Khamis lalu oleh Wilders, pemimpin parti Kebebasan di Belanda.

Filem itu antara lain menyelitkan imej serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan serangan bom di stesen Madrid pada 2004 dengan beberapa petikan ayat al-Quran.

No comments: