Thursday, April 17, 2008

Berbaris demi sebuku roti

Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum.


FENOMENA berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat.


RUTIN utama Abdel Nabi Salim dalam hidupnya ialah berbaris untuk mengambil roti. Lelaki berusia 65 tahun yang sudah beruban kepalanya itu berdiri di bawah terik sinar mentari, menunggu dalam barisan panjang untuk membeli 20 buku roti yang disubsidi dari sebuah jendela berpalang pada harga RM0.57 sebuku.

Sejak beberapa dekad lalu, Mesir telah menyediakan roti yang murah tetapi berkualiti untuk golongan miskin kerana berjuta-juta rakyatnya hidup susah dan berpendapatan rendah.

Tetapi barisan menunggu untuk membeli roti yang diperuntukkan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan makanan utama bukan subsidi di Mesir melonjak naik. Ini menyebabkan lebih banyak rakyat miskin terpaksa bergantung kepada barangan subsidi.

Situasi itu bermakna bahawa sekali Abdel membeli bungkusan roti pertama, dia harus kembali beratur dan menunggu semula untuk tambahan 10 buku roti lagi bagi keperluan keluarganya.

"Ini ialah sistem yang teruk. Saya datang ke sini setiap hari. Saya tiada sebarang pekerjaan, jadi inilah rutin saya iaitu menunggu untuk sebuku roti," katanya sambil menambah 'kerjanya' itu akan mengambil masa beberapa jam setiap hari.

Apa yang berlaku di Mesir menggambarkan beberapa risiko dan keseimbangan barangan subsidi, sama seperti beberapa negara di seluruh dunia yang cuba meringankan beban rakyat miskin terhadap kenaikan harga makanan.

Pada tahun 1977, krisis kekurangan roti subsidi telah menyebabkan berlakunya rusuhan yang membunuh orang awam sekali gus memaksa kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah tersebut.


SEKURANG-KURANGNYA 11 orang sudah terbunuh ketika berbaris dan berebut-rebut untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu.


Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun fiskal ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum. Bagaimanapun, buat masa ini, harganya masih kekal.

Para pemerhati berkata, masalah dalam sistem subsidi ini mungkin boleh mengulangi semula krisis pada tahun 1977, jika tidak diatasi segera.

"Keganasan mungkin berulang. Saya takut kerana orang ramai kini sudah mula bertindak di luar batasan," kata Gouda Abdel Khalek, pakar ekonomi di Universiti Kaherah.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 11 orang telah terbunuh ketika berbaris untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu termasuk mangsa yang diserang sakit jantung dan wanita yang dilanggar kereta sewaktu berdiri dalam barisan, menurut sumber dari bahagian keselamatan.

Seorang penduduk pula ditembak mati dan tiga daripadanya parah selepas pergaduhan tercetus dalam barisan di kawasan pinggir bandar Kaherah.

Pegawai atasan Mesir telah berikrar untuk campur tangan bagi memudahkan pengagihan roti subsidi.

"Fenomena berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat," kata jurucakap Presiden Mesir, Suleiman Awad kepada pemberita pada bulan lalu.

Presiden Hosni Mubarak pula telah meminta bantuan pihak tentera untuk membantu mengagihkan roti kepada orang ramai. Selain itu, kerajaan juga akan berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


KERAJAAN Mesir berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


Perkara ini amat dialu-alukan oleh salah seorang pembuat roti, Magdy Labib yang sering merungut bahawa kenaikan harga minyak, pasta, beras dan gula telah memberi tekanan kepada pengusaha sepertinya.

"Tepung gandum tidak mencukupi untuk keperluan orang ramai yang berbaris untuk membeli roti. Justeru, langkah kerajaan meningkatkan bekalan kepada kami adalah satu tindakan yang wajar," katanya.

Orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membeli roti kerana harga barang dunia semakin meningkat sejak hampir setahun lalu.

Harga untuk barangan harian naik sehingga 20 peratus, sayur-sayuran (15 peratus) dan minyak masak (40 peratus), menurut agensi perangkaan Mesir. - Reuters

1 comment:

Anonymous said...

salam...mmg kesian klu tgk keadaan diorg nk beli roti(eisyh) ni...bersesak2..rumah saya dekat je dengan kilang buat buat roti ni..kadang2 tepakse ikut jalan jauh coz org ramai berebut2..tuk tambahan diorang akn mula berbaris seawal jam 8pg..dan kilang akan tutp slps zohor..sebab tula diorg berebut2 kot..wallahua'lam