Bersama Zaharuddin Abd Rahman
MENYAMBUNG perbincangan untuk mengetahui peranan duit kertas hari ini, dalam bahagian kedua daripada tiga siri ini kita teruskan dengan melihat pula perkara berikut:
1. Duit Kertas Fiat (Fiat Money)
Selepas memahami keperluan dan bahagian rizab perbankan, lebih mudah untuk kita faham bagaimana duit kertas hari ini dicipta. Semuanya bermula pada 1971 apabila munculnya Fiat Money iaitu duit kertas yang ada di sekeliling kita hari ini.
Ia wang kertas yang tidak disandarkan kepada apa-apa logam berharga seperti emas dan perak. Ia bukan lagi sesuatu yang melambangkan mata wang sebagaimana diterangkan sebelum ini.
Ada yang berpendapat Fiat Money dicipta kerana jumlah emas yang tidak mencukupi untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang begitu cepat. Lombong-lombong emas gagal menghasilkan emas yang mencukupi untuk penciptaan wang.
Maka atas dasar ingin melonjakkan pertumbuhan ekonomi, pergantungan kepada emas fizikal tidak lagi berkesan. Natijahnya Fiat Money dicipta. Perkataan ‘Fiat' berasal daripada perkataan latin yang bermaksud ‘let it be done' (biarkan ia berlaku).
Memang benar, Fiat Money yang wujud hari ini boleh dicetak kerajaan berdasarkan kehendak mereka, sebagaimana yang dikatakan dicipta ‘from the thin air' (daripada angin lalu).
Menurut investopedia, Fiat Money dijelaskan sebagai “mata wang yang diisytihar kerajaan sebagai tawaran yang sah, sedangkan kenyataannya ia tidak ada nilai hakiki dan tidak didukung oleh rizab.
Berdasarkan sejarah, kebanyakan mata wang memang didasarkan pada komoditi fizikal seperti emas atau perak, namun Fiat Money didasarkan semata-mata di atas kepercayaan.”
Jelasnya, apakah asas penciptaan wang kertas hari ini? Ia hanya berdasarkan kehendak dan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap nilainya.
Jika tiba-tiba semua rakyat di dunia, enggan mengiktiraf dolar AS (USD) dalam transaksi mereka. Nilai USD akan menghadapi masalah, demikian juga Ringgit Malaysia (RM).
Nilai wang kertas Fiat ini pula kebanyakannya ditentukan oleh keyakinan manusia kepada kerajaan yang mengeluarkannya, ia dibiarkan terapung (floating) mengikut suasana ekonomi di sesebuah negara.
Sebab itulah jika kerajaan sewenang-wenangnya mencetak wang kertas Fiat, ia sama sekali tidak menjadikannya kaya, malahan nilai mata wangnya semakin jatuh.
Biasanya, apabila berlaku perang atau masalah ekonomi seperti di AS dan Eropah di waktu ini, kerajaan melalui bank negara mereka akan mencetak lebih banyak wang kertas Fiat bagi menghadapi urusan peperangan atau masalah kredit.
Apabila cetakan begitu dahsyat sampai melebihi perkembangan sebenar ekonomi dalam negara berkenaan, inflasi atau susut nilai mata wang akan berlaku. Proses pertambahan jumlah wang kertas dalam pasaran dunia atau sesebuah negara ini dinamakan money supply.
Justeru, cetakan wang kertas dalam sesebuah negara mesti dikawal oleh kerajaan sebaik-baiknya, selaras dengan perkembangan industri dan perniagaan dalam negaranya. Jika jumlah wang kertas yang dihasilkan melebihi kadar pertumbuhan industri dan perniagaan sesebuah negara, nilai mata wangnya akan jatuh merudum dan kuasa beli mengecut.
Tatkala itu inflasi akan berlaku. Contoh mudahnya, jika dulu RM5 boleh membeli ayam sekilogram, selepas inflasi RM5 hanya boleh membeli setengah kilogram ayam.
2. Duit kertas Fiat secara semula jadinya dicipta dengan faedah penyebab inflasi.
Ini satu lagi hakikat yang mesti difahami. Ia berbeza dengan sistem kewangan Islam. Namun saya belum berkesempatan menghuraikan lanjut bagi mengelakkan artikel ini menjadi terlalu panjang.
Dalam sistem konvensional hari ini, setiap duit yang dikeluarkan dianggap barang dagangan (komoditi) yang mesti menghasilkan keuntungan dengan sendirinya. Mereka percaya cara mendapatkan keuntungan adalah melalui faedah yang dikenakan kepada peminjam.
Ini amat bertentangan dengan Islam yang menghalalkan keuntungan dicapai melalui proses jual beli. Mengapa berbeza? Kerana proses jual beli memberi ruang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, membuka peluang kerja, peluang pembekal barangan, pasir, kontraktor dan ramai lagi akan mendapat manfaat daripada proses penghasilan keuntungan melalui jual beli.
Ini sangat berbeza dengan pemikiran konvensional yang ingin menghasilkan duit daripada pinjaman duit. Bagi mereka, duit dan wang dengan sendirinya adalah komoditi. Ia ibarat sebuah rumah, minyak petrol dan gas, kereta, lembu atau ayam yang boleh menghasilkan duit sama ada dengan menyewakannya, menjual atau meminjamkan. Ia mesti membawa hasil pulangan.
Sekali lagi ditegaskan, setiap wang kertas Fiat yang dikeluarkan bank atau sesebuah kerajaan dilahirkan dengan faedah di sebaliknya atau bersamanya, sejak dari mula asal usul penciptaannya.
Katalah Robin satu-satunya manusia berdikari yang ingin menggunakan wang kertas Fiat di Bandar Gotham. Hanya ada sebuah bank di Bandar Gotham, iaitu bank D. Tiada sebarang wang kertas dalam pasaran dunia Gotham ketika itu.
Kini Robin memerlukan wang sebanyak Gotham Dollar 2,000. Permohonan kepada bank dibuat, bank mencipta wang yang diminta dari ‘thin air' tanpa sebarang sandaran. Dipinjamkannya kepada Robin Gotham Dollar 2,000 itu dengan faedah sebanyak Gotham Dollar 500.
Masalahnya, dalam pasaran dunia itu, wang yang wujud hanyalah Gotham Dollar 2,000 kerana itulah duit pertama yang dicipta oleh Bank di Bandar Gotham. Justeru, bagaimana Robin ingin mendapatkan lagi Gotham Dollar 500 untuk menyelesaikan faedah kepada bank D sedangkan tidak wujud Gotham Dollar yang lain selain 2,000 yang baru dicipta tadi?
Jawabnya, Robin terpaksa pergi kepada Bank D sekali lagi, kali ini ingin meminjam Gotham Dollar 500 pula kerana berhasrat ingin menyelesaikan hutangnya dengan faedah. Bank memberi pinjam Gotham Dollar 500 tetapi sekali lagi ia dikeluarkan dengan faedah, kali ini sebanyak Gotham Dollar 50.
Sudah tentu sekali dan berjuta kali lagi, Robin akan ke bank yang sama membuat perkara yang sama dan hutangnya juga tidak akan selesai. Itulah sistem kewangan dunia hari ini. Mereka menganggap setiap duit yang tercipta mesti membawa pulangan. Bezanya, terdapat ramai yang meminjam dan banyak bank yang menyediakannya bermula dari Bank Negara.
Itulah yang berlaku dan itulah asas duit kertas Fiat. Dicipta asalnya oleh Bank Negara dan dipinjamkan kepada bank komersial yang lain dengan faedah, kemudian bersandarkan sistem FR dan money multiplier tadi, ia berkembang biak dalam pasaran sesebuah negara dan mengalir ke luar negara.
Bank negara pula mengesahkan wang kertas Fiat tadi mempunyai nilai untuk membayar segala jenis hutang awam dan swasta. Itulah status tawaran sah yang tercatat di mata wang kertas kita dan USD hari ini.
Hukum wang kertas Fiat dan pandangan ulama.
Disebutkan tadi, wang kertas Fiat tidak disandarkan kepada apa jua precious metal, ia tiada nilai sendiri dan hanya bersandar kepada kepercayaan dan tanggapan umum terhadapnya.
Selain itu, ia juga dilahirkan bersama faedah, nilainya sentiasa mengecut akibat inflasi daripada sistem simpanan kadaran. Jika itulah keadaannya, apakah hukumnya?
Bayangkan individu yang berusaha keras lalu berjaya dan mempunyai simpanan berbilion Ringgit Malaysia. Tiba-tiba akibat kepercayaan antarabangsa kepada RM jatuh, nilai dan kuasa beli yang dimiliki oleh RM turut akan jatuh merudum, inilah proses hiperinflation yang berlaku kepada Zimbabwe sekarang.
Jikalau keadaan ini berlaku kepada Malaysia (semoga dijauhkan Allah), dan jika individu berjaya tadi masih tidak menukarkan wang kertas Fiat yang tersimpan di banknya kepada aset berharga seperti emas, perak dan hartanah, sudah tentu nilai berbilion tadi menjadi beberapa ringgit saja. Adakah sistem mata wang sebegini baik, maju lagi hebat?
No comments:
Post a Comment