Tuesday, December 02, 2008

Mimpi ngeri musim tengkujuh


SETIAP tahun pada musim tengkujuh, penduduk di tiga buah kampung di Kota Bharu, Kelantan diselubungi perasaan bimbang memikirkan ancaman ombak yang menghakis pantai.


SABAN tahun apabila tibanya musim tengkujuh, penduduk di tiga buah kampung di Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan akan diselubungi perasaan takut dan bimbang yang amat sangat.

Apa kan tidaknya, ancaman ombak besar Laut Cina Selatan yang kadangkala mencecah sehingga tiga meter itu menjadi mimpi ngeri dan semakin mengancam nyawa serta harta benda penduduk di Kampung Pulau Pisang, Kampung Pulau Panjang dan Kampung Pulau Pak Amat.

Pada musim tengkujuh tahun lalu, sebanyak tiga buah rumah penduduk yang terletak di Kampung Pulau Pak Amat yang menjadi tempat pendaratan pertama tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua, musnah dihanyutkan ke laut kerana banjir air pasang.

Sejak beberapa hari lalu, sudah ada penduduk yang mengemas barang sebagai persediaan berpindah akibat ancaman ombak besar yang membadai sehingga ke bumbung rumah, malah ada antara mereka berpindah ke rumah saudara mara di kawasan lain.

Tidak lena tidur

Penduduk asal Kampung Pulau Pak Amat, Wiah Ab Rahman, 67, berkata, air pasang dan ombak besar yang hadir setiap kali musim tengkujuh amat merunsingkannya. Ini kerana gigi pantai semakin hari semakin menghampiri rumah kayunya yang bercat kuning.

Dahulu, kata Wiah yang membahasakan dirinya 'Mak Ngah', pantai masih jauh dari rumahnya dengan jarak melebihi satu kilometer, namun sekarang sudah tidak sampai 100 meter.

"Mak Ngah takut nak tidur di rumah pada waktu malam. Tak boleh pejam mata. Mak Ngah pergi tidur di rumah anak, Che Natrah Mamat. Rumahnya dua tingkat, tak jauh dari rumah Mak Ngah. Kalau air naik, kami semua duduk di tingkat atas," katanya.

Wiah yang tinggal bersendirian di rumah itu sejak kematian suaminya lapan tahun lalu berkata, beliau amat takut sekiranya rumah kayu yang telah melebihi usianya itu dihanyutkan air laut ketika dia sedang tidur.

"Bila air pasang, air naik sampai ke dinding dan kadang-kadang masuk ke dalam rumah. Lantai rumah Mak Ngah juga dah reput terendam dalam air masin. Berjalan pun kena hati-hati. Tunggu masa dah nak runtuh agaknya," katanya.

Menurut Wiah, penduduk kampung sudah beberapa kali menemui wakil rakyat, namun sehingga kini tiada apa yang dilakukan untuk mengatasi masalah yang menghantui mereka.


SEKUMPULAN kanak-kanak seronok bermain ombak besar yang menghakis tebing pantai Kuala Pak Amat di Kota Bharu, Kelantan.


"Setiap kali pilihan raya, masing-masing berjanji untuk membantu, ada yang berjanji untuk memindahkan mereka, ada yang janji nak bina benteng, tetapi selesai pilihan raya, tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk mengubah nasib penduduk," katanya kesal.

Tutup pintu rezeki

Seorang pengusaha calet di kawasan itu, Nik Khairuddin Nik Aziz, 33, terpaksa menghentikan seketika operasi 14 unit caletnya yang kini semakin dihampiri air laut.

Beliau berkata, operasi calet 'Tiram Beach Resort' yang bermula sejak tahun 2002 itu mungkin terpaksa dihentikan buat selama-lamanya atas faktor keselamatan.

"Tak tahulah macam mana keadaannya. Dulu, pantai jauh dari calet ini. Sekarang dah semakin hampir, saya tak berani nak ambil risiko keselamatan kanak-kanak kerana pagar yang membatasi kawasan calet dan pantai pun dah tak ada kerana tenggelam di dalam laut," katanya.

Menurutnya, kerugian perniagaan yang dijalankan bersama bapanya, Nik Aziz Yunus, 58, dianggarkan mencecah RM300,000. Malang bagi mereka kerana tidak tahu ke mana masalah itu hendak diadukan.

Sebelum ini, penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri memohon benteng dibina bagi meminimumkan kesan hakisan di pantai itu.

"Tetapi sampai hari ini, tak nampak benteng atau apa yang sedang dilakukan pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

"Negara kita pernah bersedih kerana kehilangan Pulau Batu Putih. Tetapi sekarang ini, sedarkah kita bahawa negara sedang kehilangan beratus-ratus ekar tanah disebabkan hakisan, saya harap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini," kata Nik Khairuddin.

Selain itu, ombak besar juga menyebabkan berlaku longgokan pasir di muara sungai yang mengakibatkan hampir 100 bot nelayan tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

Kos tinggi bina benteng

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman ketika diajukan persoalan itu berkata, kerajaan negeri sedang melakukan apa yang terdaya untuk membantu penduduk terlibat.

Menurutnya, pembinaan benteng di kawasan yang terhakis telahpun dilaksanakan oleh JPS Kelantan.

Bagaimanapun, pembinaan benteng tidak dapat dilaksanakan sekali gus di sepanjang kira-kira 70 kilometer pesisir pantai negeri Kelantan kerana ia melibatkan peruntukan kos yang tinggi.

"Masalah hakisan di situ bukan perkara baru. Di Kuala Pak Amat, ia sudah lama berlaku dengan lebih satu kilometer tanah sudah masuk ke dalam laut. Hakisan ini juga berlaku di seluruh negara, bukan Kelantan sahaja.

"Nak buat semua itu perlukan peruntukan yang banyak. Setiap tahun, memang kita ada peruntukan untuk itu. Jadi, kita buat setakat yang mampu kita buat," kata Mejar (B) Anizam.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang mencari tempat sesuai untuk memindahkan penduduk yang terlibat dengan ancaman ombak besar di situ. - Bernama


Harap pihak yang bertanggungjawab memikirkan langkah-langkah lebih efisyen untuk menangani masalah ini. Kesihanlah kat mereka yang nak lena pun takut, takut rumah dah jadi perahu....

No comments: