Tuesday, December 02, 2008

Syarat guna wang Fiat

Bersama Zaharuddin Abd Rahman

>SAMBUNGAN MINGGU LALU

JIKA mata wang kita berasaskan emas dan perak yang ada nilai tersendiri serta tidak bersandar kepada kepercayaan dan keyakinan serta persepsi umum terhadap ekonomi negara kita, adakah masalah yang disebut tadi akan berlaku? Insya-Allah tidak.

bn Sina pernah berkata: “Ini adalah daripada hikmah yang dikurniakan Allah kepada dua jenis logam ini (emas dan perak) dan kesukaran menemuinya sehingga ia mampu menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan mata wang), maka jika boleh sifat kedua-duanya (emas dan perak) itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada mata wang Fiat kertas), akan terbatallah hikmah penciptaannya oleh Allah dan banyaklah yang boleh memilikinya sehingga menyimpannya (memilikinya) tidak sebarang erti.”

Tamadun Islam tidak pernah menghadapi masalah inflasi teruk kerana emas dan perak sentiasa mampu mendapat tempat di hati manusia. Oleh kerana kewujudan emas dan perak terhad, itulah hikmah yang menjadikan nilainya sentiasa kekal.

Jika berlaku sedikit inflasi pada zaman pemerintahan Islam, ia kerana wang sampingan iaitu wang bernama fulus terlebih sebaran di dalam pasaran.

Fulus ialah duit sampingan untuk transaksi kecil. Ia pernah dicipta di zaman pemerintahan Islam, dibuat daripada bahan murah seperti campuran besi dan tembaga tanpa nilai yang tinggi. Nilainya ditetapkan oleh kerajaan dan popular di zaman Al-Malik An-Nasir sekitar 806. Sebelum itu semua zaman pemerintahan Islam menggunakan emas dan perak sebagai mata wang utama.

Menurut Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, fulus disamakan dengan mata wang Fiat kertas kerana kedua-duanya tiada nilai tersendiri.

Imam Asy-Syafie pernah menolak logam selain emas dan perak sebagai mata wang. Malah, beliau amat tegas sehingga menolak sebarang qiyas terhadap emas dan perak. Namun, ulama mazhab Syafie berpendapat qiyas dalam hal ini masih wujud sekiranya ia mempunyai ‘illahathman (store value).

Melalui persidangan dan mesyuarat Majlis Fiqh Antarabangsa, ulama dengan bantuan pakar ekonomi dan kewangan kontemporari berijtihad secara jama’aie dalam menentukan kedudukan wang kertas Fiat ini.

Adakah ia sama hukum seperti emas dan perak walaupun tidak mempunyai nilai fizikal tersendiri (intrinsic value) atau sebaliknya.

Selepas berbincang pada 1986, petikan keputusan mereka adalah nombor 31 (3/9): Ertinya: Berkenaan hukum wang kertas Fiat, ia mata wang pada hukumnya disebabkan terdapat sifat nilai harga yang lengkap. Oleh itu semua hukum yang ada pada emas dan perak jatuh kepada wang kertas Fiat seperti hukum berkaitan riba, kewajiban zakat, jual beli secara salam, dan seluruh hukum emas dan perak. (qararat wa tawsiat, Majma Al-Fiqh Al-Islami, hlm 40)

Keputusan mengaplikasikan hukum emas dan perak ke atas wang kertas Fiat adalah bertepatan dengan pandangan Umar al-Khattab.

Khalifah Umar pernah berhasrat menjadikan kulit kerbau sebagai mata wang tetapi membatalkannya kerana bimbang ada yang pinjam meminjam kerbau maka jatuh kepada riba. Ini bererti Umar melihat apa saja yang dijadikan mata wang selain emas dan perak, hukum riba tetap ada padanya.

Demikian juga disebut Imam Malik bin Anas: Ertinya: “Sekiranya orang ramai membenarkan sesama mereka menjadikan kulit sebagai mata wang, akan aku larang ia dijual dengan emas dan perak secara tangguh.”

Ia jelas menunjukkan pendirian Imam Malik bin Anas, dan boleh kita adaptasikan pandangannya dengan wang kertas Fiat hari ini.

Jika kita merujuk cara penciptaan mata wang Fiat (yang telah disebutkan di atas), sudah tentu hukum penggunaannya haram disebabkan cara penciptaannya.

Namun, selepas ulama melihat faktor cengkaman ekonomi dunia kontemporari di tangan bukan Islam dan keperluan mendesak penggunaan mata wang Fiat disebabkan tiada alternatif seperti mata wang dinar emas dan sebagainya.

Majlis Fiqh antarabangsa dianggotai ulama Fiqh terhebat seluruh dunia secara sepakat membenarkan penggunaannya, namun dengan syarat mestilah mengikuti disiplin dan syarat sama dengan hukum atas emas dan perak.

Ini kerana ia tetap berfungsi sebagai alat pertukaran dan masih boleh menjalankan fungsi duit di zaman moden ini walaupun tidak sesempurna emas dan perak fizikal.

Fahamilah, fatwa mestilah bersifat praktikal atau ‘menjejak di bumi nyata’. Memang boleh bagi ulama menfatwakannya sebagai haram, namun apakah alternatif yang ada di depan mata di ketika ini.

Kita mengetahui bahawa fatwa ulama tidak dipandang berat oleh pemimpin politik negara umat Islam sehingga dengan segera mereka akan memperkenalkan dinar emas.

Justeru, atas dalil hajiat, umat Islam diberikan keringanan untuk bermuamalat dengan wang kertas Fiat, namun mestilah mengikut disiplin emas dan perak.



Pemain ‘forex trading’ melalui Internet yang pelik

Individu yang meraih untung melalui perniagaan mata wang atau ‘forex trading’ sebenarnya penyumbang kepada inflasi dan menambah lagi masalah ‘money supply’.

Sudahlah fatwa keharusan penggunaan ‘Fiat money’ hanya berlandaskan ‘hajiat tunnazzal manzilat ad-dharurat’ (iaitu keperluan yang tinggi hampir tergolong dalam kategori terdesak), ada individu yang mendakwa Islam menyalahgunakan fatwa ini dengan membabitkan diri dalam ‘forex trading’ melalui platform pelik di Internet. Ia bukan saja ditegah undang-undang Malaysia malah hukum syarak.

Lebih bermasalah apabila kumpulan pemain ini berhujah kononnya leveraj kewangan yang mereka sertai halal tanpa sebarang masalah., padahal hukum sudah ada pada mata wang kertas Fiat yang lahir dengan cara riba juga tidak bersandarkan kepada emas dan perak.

Inikah hasil pendapatan yang ingin dibanggakan? Mengambil untung atas perbezaan nilai satu mata wang Fiat sebuah negara dengan mata wang negara yang lain. Bertenggek atas mata wang kertas Fiat untuk memberi anak dan isteri makan? Fikirkan.

Keadaan ini berbeza dengan orang biasa yang menggunakan mata wang kertas Fiat untuk jual beli seharian. Ia termasuk dalam fatwa keringanan ‘rukhsoh’ dan hajiat yang dimaksudkan oleh fatwa ulama sedunia tadi.

Tidak saya nafikan ada ‘ustaz’ yang tegas mengatakan wang kertas Fiat tetap haram. Memang hukumnya haram namun saya bimbang mereka lupa di dalam poket mereka ada wang jenis ini.

Di atas dasar keyakinan tegas mereka, setiap kali mereka menggunakan wang kertas Fiat, mereka tenggelam dalam dosa. Mereka berdosa kerana seolah-olah menolak fatwa yang memberikan keringanan menggunakannya di waktu ketiadaan wang yang memenuhi kehendak Islam.

Sabda Nabi SAW: “Agama ini adalah banyak memudahkan, dan tidaklah seorang yang terlalu berkeras (atau melampau) dalam urusan agama kecuali mereka akan tewas (dengan kekerasan ) mereka” (Al-Bukhari, bab Iman).

No comments: