Wednesday, December 31, 2008

Zikir mustajab

Oleh Helmy Abd Rahman dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my

KAJANG: Amalan zikir dan doa secara berterusan ternyata kaedah paling mujarab buat Pembantu Pustakawan Universiti Putra Malaysia (UPM), Noraini Daud, 48, untuk membuka pintu hati anaknya, Norzarifah Kamarauzaman, 21, yang hilang di Australia sejak April lalu, kembali ke tanah air.

Bekas pelajar Curtin University of Technology, Perth, Australia itu, pulang secara tiba-tiba dua minggu lalu.

Lebih menakjubkan, beberapa hari sebelum kepulangan anak kesayangannya itu, Noraini berkali-kali bermimpi dia kembali ke pangkuan keluarga di Taman Bukit Mewah di sini, dengan wajah berseri-seri.

Noraini mengamalkan zikir dan doa itu selepas menemui Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek di Masjid Hasanah Bangi, dekat sini, 4 Disember lalu.


Sejurus mengetahui mengenai kepulangan gadis berkenaan, wartawan Harian Metro bergegas ke rumah keluarga Norzarifah yang dipanggil Ipah oleh keluarganya, malam tadi dan sempat bertemu bapanya, Kamarauzaman Nasir, 50, yang mengesahkan perkara terbabit.

Bagaimanapun, kata Kamarauzaman, Noraini dan Norzarifah berada di kampung di Perak untuk menghadiri kenduri doa selamat sempena kepulangan anaknya.

Menurut Kamarauzaman, dia terkejut dengan kemunculan anaknya secara tiba-tiba tanpa memaklumkan mengenai kepulangannya.

“Ipah langsung tak beritahu apa-apa dan kepulangannya memang mengejutkan kami. Kami sangat bersyukur apabila melihatnya depan mata. Rasa seperti bermimpi pun ada.

“Namun, dia beritahu ingin berehat dan agak tertekan selepas mengetahui kisahnya disiar akhbar,” katanya.

Ditanya sama ada Norzarifah dilaporkan mengikut kekasih warga Australia, Kamarauzaman berkata, anaknya menafikan perkara itu.

“Ipah memberitahu banyak cerita yang tersiar mengenainya tidak benar,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, Noraini meminta bantuan wartawan Harian Metro untuk menghubungi Pisang selepas membaca laporan akhbar ini mengenai bekas pelajar genius, Sufiah Yusof, 23, yang kembali ke pangkal jalan menggunakan kaedah Islam.

Dua hari kemudian, Pisang mengeluarkan kenyataan untuk membantu mengesan dan membawa pulang Norzarifah yang dilaporkan lesap di Perth.

Noraini menemui Hanafi di Masjid Hasanah Bangi untuk meminta pertolongan mengesan anaknya.

Kisah Norzarifah mula disiarkan akhbar ini pada 25 September lalu apabila dia dikejarkan ke hospital di Australia dipercayai kerana menelan 50 biji pil paracetamol akibat tekanan.

Norzarifah terpaksa dikejarkan ke hospital namun sebaik saja pulih, dia dikatakan mengikuti seorang lelaki warga Australia yang dipercayai kekasihnya.

Mengulas kepulangan pelajar itu ke tanah air, Hanafi berkata, dia bersyukur Norzarifah kembali ke pangkuan keluarga tidak sampai sebulan selepas pertemuan wakil Pisang dengan ibunya di masjid berkenaan.

Menurutnya, Noraini ada memaklumkan dia bermimpi anaknya pulang dan kini, memang benar berlaku.

“Amalan dan zikir itu memang saya ajarkan kepada sesiapa yang datang mengadu mengenai kehilangan anak dan kebiasaannya mereka pasti bercerita mengenai mimpi anak pulang ke rumah sama seperti Noraini,” katanya.

“Pihak saya pula akan melakukan solat hajat, bacaan surah Toha dari ayat satu hingga enam serta beberapa amalan tertentu. Alhamdulillah kerana Allah swt mendengar rintihan hamba-Nya, Norzarifah kini pulang ke pangkuan keluarganya,” katanya.


Amal doa, zikir, solat hajat


KAJANG: Pembantu Pustakawan Universiti Putera Malaysia (UPM), Noraini Daud, mengamal beberapa zikir dan doa sebagai usaha membawa pulang anaknya, Norzarifah Kamarauzaman, yang dilaporkan hilang di Perth, Australia.

Zikir dan doa itu diberikan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengaruh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek.

Antara amalan membawa pulang individu hilang:

# Membaca surah al-Fatihah dalam satu nafas.

Pada ayat keempat yang bermaksud: Hanya Engkau Tuhan aku sembah dan hanya Engkaulah Tuhan yang aku minta pertolongan, terus berdoa dalam hati agar pulangkan anak.

# Membaca 40 kali surah al-Ikhlas sehari dengan setiap satu ayat senafas. Pada ayat kedua: “Hanya Allah tempat meminta” terus lintaskan dalam hati nama anak.

# Solat hajat

# Baca surah Toha dari ayat satu hingga enam.

3 comments:

Anonymous said...

thanks a lot for posting these articles in ur blog.. may allah bless u alwayz :)

wan salmah said...

Sama-sama. Mungkin amalan ini dapat dilakukan untuk apa2 jenis masalah sebab ia umum utk kita mohon pertolongan daripada Allah.

traveller said...

Salam.sesiapa nak ke perth,australia?. Cuba visit www.mahiraholidayhomes.com Holiday homes kepunyaan org islam malaysia.mereka ada car rental. Boleh call 0123360098 Saya da try 2x. Memang servis terbaikkk dan penginapan yg sgt selesa dan bersih. harga memang berbaloi.mereka ada fullboard muslim pakej juga.